Wednesday, November 10, 2010

touch screen

Kenapa Semua Orang Sibuk Dengan Skrin Sentuh?

1. Trend telefon dewasa ini, ialah skrin sentuh. Telefon pintar dan telefon dungu, boleh dikatakan sekarang ini, memasuki era yang kesemuanya kalau boleh, ingin diletakkan skrin sentuh.

2. Sekiranya sesebuah telefon itu baru diumumkan dan ia tidak memiliki skrin sentuh, ia dilihat sebagai tidak mengikut trend, tidak modern, tidak ”cool” dan pelbagai ”tidak” lagi.

3. Tetapi dalam keghairahan pengguna membeli segala-galanya yang memiliki skrin sentuh dan juga ketamakan pengeluar telefon bimbit mengeluarkan begitu banyak model telefon yang menggunakan teknologi skrin sentuh yang pelbagai, patutkah anda juga memiliki sebuah telefon yang berskrin sentuh? Patutkah?

Ericsson R380

4. Jika dilihat beberapa tahun kebelakangan ini, fenomena skrin sentuh dalam telefon digembar-gemburkan oleh media dengan keterlaluan sehinggakan saya rasa mual apabila membaca kenyataan-kenyataan seperti :
- iPhone adalah telefon pintar pertama yang memiliki teknologi skrin sentuh yang amat canggih hinggakan anda boleh menggunakan dua jari anda untuk membesarkan dan mengecilkan gambar.
- iPhone menggunakan teknologi skrin sentuh yang dipanggil ”capacitive” iaitu skrinnya mengesan haba. Anda tidak memerlukan ”stylus”!
- Nokia 5800 Xpress Music adalah telefon pintar pertama dari Nokia yang menggunakan skrin sentuh!!!

Nokia 7700

5. Kenyataan-kenyataan diatas ternyata amat dangkal dan tidaklah begitu memberangsangkan pun sebenarnya, malahan ada yang tidak betul sama sekali :
- Teknologi skrin sentuh dalam telefon pintar bukanlah baru, malahan ia sudah diperkenalkan seawal tahun 2001 oleh Symbian. Telefon pintar Symbian yang pertama di dunia iaitu Ericsson R380 sudah menggunakan skrin sentuh seawal tahun 2001. Telefon pintar Treo 90 oleh Handspring yang menggunakan Palm OS juga sudah menggunakan skrin sentuh pada tahun 2002, jauh lebih awal dari iPhone.
- Ada kekurangan dalam teknologi skrin sentuh ”capacitive” ini iaitu untuk orang yang memakai sarung tangan, ia tidak dapat digunakan. Contohnya oleh orang-orang yang tinggal ditempat yang suhunya dingin kerana salji.
- Nokia 5800 bukan telefon pintar Symbian yang pertama menggunakan skrin sentuh oleh Nokia. Saya ulang, BUKAN yang pertama. Seawal tahun 2003, Nokia telah mengumumkan Nokia 7700 yang menggunakan platform Symbian Series 90, malangnya 7700 tidak dikeluarkan untuk pasaran umum, tetapi penggantinya, 7710, berjaya dikomersialkan pada tahun 2004. 7710 juga menggunakan Series 90 dan adalah telefon pintar Symbian dari Nokia yang pertama menggunakan skrin sentuh yang dikomersialkan.

Nokia 7710

6. Penggunaan teknologi skrin sentuh dalam telefon pintar bukanlah sesuatu yang sangat baru. Ia sudah bertahun-tahun digunakan.

7. Dalam hal ini, elok kita ketahui sedikit sebanyak sejarah industri telekomunikasi mudah alih supaya kita dapat mengetahui kebenaran dan boleh menjawab dengan fakta yang betul apabila ada jiran sebelah yang baru pakai iPhone dan mendabik dada mempercayai fakta karut bahawa iPhone adalah telefon pintar yang pertama di dunia yang menggunakan skrin sentuh!

8. Jika dilihat sejarah, Symbian memang dicipta untuk menyokong skrin sentuh kerana asal-usul Symbian iaitu dari sistem operasi EPOC, sememangnya memiliki kapasiti untuk menerima sentuhan.

9. Bagi saya, skrin sentuh dalam telefon pintar amat leceh digunakan. Agak susah untuk mengawal dan mengakses fungsi menggunakan satu tangan. Apatah lagi untuk memasukkan teks. Sebagai seorang yang bergerak kesana kemari dan menaiki kenderaan awam, skrin sentuh amat merimaskan saya kerana ia memerlukan saya menggunakan kedua-dua tangan saya untuk menjalankan aktiviti-aktiviti mudah yang saya boleh buat menggunakan 1 tangan sahaja. Sangat merimaskan. Itu belum cerita bab asyik kena lap skrin sebab berminyak dan juga penjagaan yang leceh sebab takut calar. Saya bukanlah membenci teknologi skrin sentuh ini tetapi saya rasa, kita semua terlalu banyak dimomokkan dengan propaganda yang tidak benar.

10. Memanglah tidak dapat dinafikan bahawa dengan skrin sentuh, sesebuah peranti pintar itu nampak canggih, nampak hebat dan nampak ”WOW!”. Tapi untuk kegunaan mudah, tidak sama sekali.

11. Pada pendapat saya, sebuah telefon pintar yang benar-benar hebat, dan boleh digunakan pada bila-bila masa, adalah telefon pintar yang memiliki GABUNGAN keypad, QWERTY keyboard, dan skrin sentuh yang memberi alternatif kepada pengguna untuk memilih dan menggunakan cara yang disenanginya untuk mengakses fungsi-fungsi telefon pintar tersebut. Contohnya seperti Sony Ericsson P990. Malangnya, tidak ada telefon pintar lain yang padat (compact) seperti Sony Ericsson P990 yang dikeluarkan pada hari ini.

Sony  Ericsson P990

12. Cakaplah apa pun mengenai kehebatan atau kebaikan skrin sentuh. Bagi saya, belum ada teknologi yang dapat menggantikan keypad dan QWERTY untuk memasukkan teks dengan baik dan pantas.

13. Pada hari ini, walaupun semua org sibuk memperkatakan mengenai skrin sentuh dan semua pengeluar berlumba-lumba mengeluarkan model skrin sentuh, saya yakin, berbilion lagi manusia di atas mukabumi ini yang memilih untuk menggunakan keypad dan merasa butang fizikal.

14. Dalam hal inilah, kekuatan sistem operasi pintar Symbian mengatasi sistem operasi yang lain. Symbian boleh dikonfigurasikan dalam bentuk yang pelbagai untuk menggunakan skrin sentuh mahupun tidak.




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...