Tuesday, May 31, 2011

Mobile ESPN untuk peminat sukan.

IPTV...trend baru.
IPTV...trend baru.
MENONTON aksi bola sepak atau sukan lain kini bukan lagi terhad di televisyen semata-mata berbeza beberapa tahun lalu.
Kalau mahu menyaksikan aksi sukan, televisyenlah ‘stadium’nya! Tekan saja butang alat kawalan dan anda boleh menonton walaupun tidak semua sukan yang disalurkan.


  • Foto MUDAH ALIH...menonton sukan menerusi laptop 

     memudahkan pengguna mengaksesnya di mana saja.
  • Foto MENARIK...Liga Perdana Barclays antara saluran yang ditawarkan Mobile ESPN.
  • Foto MOBILE ESPN...sesuai dengan telefon pintar.

Namun, saluran sukan terkemuka, ESPN STAR Sports (ESS) mempunyai alternatif terbaik kalau anda mahu menonton tanpa perlu menggunakan televisyen.

Pengarah Urusannya, Manu Sawhney berkata, keupayaan teknologi televisyen protokol Internet (IPTV) banyak membantu mengubah gaya hidup menonton sukan selain keupayaan inovasi mudah alih berspesifikasi tinggi seperti telefon pintar.


“Pengenalan teknologi terbabit mempengaruhi cara peminat sukan menghayati sukan dan di Asia, ketika TV berbayar terus menjadi medium utama, platform baru tetap menampilkan potensi besar apabila semakin ramai pengguna menonton kandungan melalui Internet dan platform tanpa wayar,” katanya.


Katanya, ESS menyedari kepentingan IPTV sebagai platform baru sukan memandangkan industri jalur lebar dijangka bakal memacu Malaysia sebagai salah satu pasaran IPTV yang paling pesat berkembang di rantau Asia Pasifik.

“Mengikut laporan industri, pasaran perkhidmatan komunikasi Malaysia akan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 9.7 peratus antara 2010 dan 2015 iaitu kadar pertumbuhan tertinggi yang berpunca daripada peningkatan jalur lebar mudah alih dan tetap,” katanya.

Beliau berkata, melihat corak perubahan kandungan mula disalurkan secara online dan medium mudah alih, ESS memperkenalkan mobileESPN (belum diperkenalkan di Malaysia) serta ESPN Player.

“Kami beranggapan sukan berupaya disalurkan melalui IPTV menerusi komputer peribadi (PC) iaitu WebTV.

“Kandungan terbabit boleh diakses dan dikembangkan pengguna sendiri menerusi rangkaian sosial.

“Ia bermakna, pengguna boleh menghebahkan saluran terbabit dan berkongsi alamat URL untuk menontonnya,” kata Sawhney.

Beliau memaklumkan, pengguna yang mempunyai laptop berupaya menonton sukan dengan mengakses terus ke laman web ESPN Player asalkan mereka mempunyai akaun Astro.

“ESS terus mencatatkan kehadiran yang mantap dan bilangan pengikut yang ramai di Malaysia berikutan kepelbagaian kandungan sukan premium dan perkembangan pesat perkhidmatan serta platform baru kami di Malaysia.

“ESPN Player menyaksikan kadar pertumbuhan positif dan konsisten sejak pelancarannya pada September 2010 termasuk bilangan purata unik pengunjung mingguan pada Mac lalu 2011 bertambah jika dibandingkan angka Disember 2010,” jelasnya.

Katanya, pelbagai kandungan sukan yang disiarkan secara langsung dipaparkan melalui rangkaian jalur lebar termasuk Tenis Terbuka Australia dan musim F1 bermula pada Mac 2011 mencetuskan fenomena sukan dalam web TV.

“Anda boleh menonton secara langsung semua sukan pada satu platform atau memilih sukan tertentu saja berasaskan konsep atas permintaan.

“Setakat ini, kajian kami menunjukkan 70 penonton mengaktifkan sukan secara langsung manakala selebihnya mengikut permintaan,” tambahnya.

Sawhney berkeyakinan, saluran IPTV berupaya mencetuskan fenomena dalam industri dan berupaya menggalakkan penggunaan jalur lebar walaupun kawasan terbabit di tidak dilengkapi prasarana lengkap.

“Kita mempunyai beberapa pilihan untuk pengguna dan tidak terhad kepada IPTV semata-mata,” katanya.

Di samping itu, ESS memantapkan sajian mudah alihnya iaitu ESPN mudah alih dalam pasaran memandangkan kaedah terbabit membolehkan mereka mencapai penonton yang luas menerusi skrin berbeza.

“Platform seperti telefon pintar dan tablet antara pilihan terbaik untuk menonton sukan tambahan pula harganya kian murah,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, ESS mengembangkan lagi produk mudah alih dengan menyajikan kaedah ‘stream’ menggunakan kandungan secara langsung menerusi rangkaian 3G.

Bagaimanapun, perkhidmatan ESS mudah alih kini hanya ditumpukan di Singapura dan syarikat terbabit masih di peringkat perancangan memperkenalkan kaedah ini kepada Malaysia dalam masa yang terdekat.

Baru-baru ini ESS melancarkan perkhidmatan stream mudah alih di Singapura melalui Mobile ESPN yang direka bersesuaian dengan platform telefon pintar berspesifikasi tinggi.

Mobile ESPN adalah aplikasi sukan mudah alih baru yang menyokong semua platform mudah alih utama dan memaparkan permainan secara langsung dan kandungan sukan mudah alih bertaraf dunia premium mengikut permintaan kepada peminat.

Tujuannya mudah, ia bakal memperhebatkan pengalaman peminat sukan yang sentiasa bergerak ke sana ke mari dengan Mobile ESPN menampilkan susunan hebat siaran sukan bertaraf dunia mengikut tempoh tertentu secara langsung.

Sehingga kini, antara saluran siaran langsung yang ditawarkan termasuk Liga Perdana Barclays (BPL), Liga Juara-Juara UEFA, Formula 1, Moto GP, Piala FA, Wimbledon, dan Terbuka Australia.

Selain itu, peminat sukan juga boleh mendapat akses berbagai-bagai maklumat dan klip atas permintaan termasuk sorotan F1 dan Piala FA, laporan terkini video mudah alih SportsCenter serta laporan terkini pasukan yang paling mutakhir.

Malah, terdapat statistik praperlawanan oleh pakar bola sepak melalui ScoreCast sebelum perlawanan Liga Perdana Barclays siaran langsung hujung minggu.

“Pada ketika ini, kami dalam proses perbincangan dengan rakan kongsi di Malaysia dan berharap akan dapat melancarkan stream langsung melalui Mobile ESPN di Malaysia yang diharapkan direalisasikan tidak lama lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...